Khamis, Mei 13, 2010

Guru Pembina Negara Bangsa

PERUTUSAN
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
SEMPENA PERAYAAN HARI GURU 2010

“GURU PEMBINA NEGARA BANGSA”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Marilah kita semua merafakkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru bagi tahun ini. Pada tanggal 16 Mei setiap tahun seluruh negara menyambut Hari Guru sebagai tanda penghormatan dan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan kaum guru. Penghormatan ini amat layak diberikan atas kegigihan guru-guru memberikan segala tunjuk ajar serta mendidik murid-murid untuk menjadi insan cemerlang yang berilmu dan berpekerti mulia. Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab seorang guru merupakan tugas yang amat mulia.

Saya ingin mengucapkan ”Selamat Menyambut dan Merayakan Hari Guru” kepada semua warga pendidik. ”Terima Kasih Cikgu” atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan suatu tugas yang berat dan mencabar. Namun begitu, saya percaya cabaran-cabaran ini mampu diatasi dengan kesungguhan dan iltizam yang tinggi.

Guru-guru dan murid-murid yang dikasihi,

Pada tahun 1991 Kerajaan membina azam untuk mencapai Wawasan 2020, untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya mengikut acuan sendiri. Bagi menghadapi cabaran-cabaran yang menghalang kita daripada mencapai wawasan ini, kerajaan telahpun melancarkan Pelan Transformasi sebagai satu kerangka pelan hala tuju yang memperincikan objektif, keberhasilan dan langkah-langkah permulaan yang akan dilaksanakan. Tempoh satu dekad yang tinggal ini bukanlah satu jangka masa yang panjang. Oleh itu kita hendaklah dengan satu tekad yang kuat untuk bersama-sama menjaya bidang keberhasilan utama pendidikan iaitu Meningkatkan Akses kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan. Objektif ini mampu kita capai jika kita semua memainkan peranan masing-masing dengan bersungguh-sungguh dan berkesan.
Justeru guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan kejayaan murid-murid. Murid-murid pula hendaklah sentiasa memperkukuhkan disiplin dan jati diri dan menjadikan mereka golangan murid yang berhemah dan berpekerti mulia dan sentiasa mematuhi dan mendengar nasihat serta tunjuk ajar daripada guru-guru dan ibu bapa. Sesungguhnya peranan guru-guru, pelajar dan ibu bapa akan membantu melonjakkan prestasi sekolah untuk menjadi sekolah berprestasi tinggi.

Sebab itulah Kementerian telah memilih tema “Guru Pembina Negara Bangsa” dijadikan sebagai tema Hari Guru pada tahun ini. Kejayaan membangunkan sebuah Negara Bangsa yang teguh akan membantu kita mencapai Wawsan 2020. Nilai-nilai mulia seperti sifat saling hormat-menghormati, bertanggungjawab, penyayang, bertimbang rasa, berbudi bahasa, memiliki disiplin diri dan kesungguhan wajarlah dipupuk dan diamalkan sejak di bangku sekolah dan menjadikannya budaya hidup masyarakat.
Matlamat kerajaan untuk membina sebuah Negara Bangsa adalah selaras dengan gagasan 1 Malaysia: rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Hasrat 1 Malaysia adalah gagasan untuk membina kekuatan melalui perpaduan nasional dan semangat kebersamaan. Lapan nilai-nilai aspirasi yang menjadi teras gagasan 1 Malaysia iaitu budaya ilmu, integriti, ketahanan, kesetiaan, kebijaksanaan, budaya ketepatan, budaya berprestasi tinggi dan budaya inovasi merupakan nilai-nilai teras yang perlu diterapkan sebagai budaya kehidupan rakyat bagi memacu kejayaan yang lebih besar di masa hadapan. Setiap rakyat menjunjung masa hadapan yang dikongsi bersama, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan keadilan. Tidak ada sesiapapun akan terpinggir untuk merebut peluang yang disediakan bagi menyerlahkan segala keupayaan dan potensi masing-masing.

Jika nilai-nilai ini dapat diterapkan melalui proses pendidikan yang terancang, saya yakin dan percaya perpaduan dalam kalangan rakyat akan dapat diperkukuhkan. Perpaduan merupakan aspek penting dalam pembangunan negara. Oleh itu ianya perlu diberikan perhatian yang bersungguh-sungguh oleh setiap orang. Kementerian pelajaran akan terus menyokong pembinaan Negara Bangsa bagi memperkukuhkan perpaduan, membina identiti nasional dan semangat kebangsaan serta membangunkan sumber manusia bersesuaian dengan keperluan negara kita dalam menghadapi cabaran globalisasi.