Sejarah


SJK(C) Uk Dih telah diasaskan pada penghujung tahun 1918. Sekolah ini merupakan sekolah Cina yang pertama di Daerah Manjung. Pada awal abad 20-an, ramai orang Cina berhijrah dari Negeri China ke negara ini. Sebahagian dari mereka telah menjadi perintis pembukaan Ladang Li Tong. Berikutan pembukaan Kampung Koh sebagai penempatan baru, ramai orang Cina dari kawasan lain telah berpindah ke Kampung Koh. Dengan bertambahnya penduduk, maka jumlah kanak-kanak juga bertambah ramai. Oleh itu, pembesar-pembesar Cina tempatan menyedari keperluan untuk menyediakan sekolah untuk kanak-kanak yang cukup umur itu belajar.

Antara pembesar-pembesar Cina di Kampung Koh yang mengambil berat terhadap kepentingan pendidikan kanak-kanak pada masa itu ialah En.Ling Kee Long, En. Lee Kor Din, En. Joe Siew Chen, En. Ding Kek Long, En. Lau Hiong Yeu, En. Ling Su Duan, En. Ding Seng Hong dan En. Wong Hung Kwan. Sebagai barisan pengasas Sekolah Uk Dih, mereka telah menghadapi banyak cabaran dan kesulitan terutamanya masalah kewangan. Namun, dengan semangat juang yang padu, demi kepentingan pendidikan kanak-kanak di Kampung Koh, mereka meneruskan azam dengan sedaya-upaya mendapatkan wang yang cukup supaya sekolah dapat dibina. Perjuangan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Sekolah Uk Dih diasaskan dengan rasminya di Ladang Li Tong pada 8 Ogos 1918.

Pada mulanya, Sekolah Uk Dih hanya mempunyai 2 orang guru dan bermula dalam keadaan yang serba kekurangan pada tahun 1918 dengan bangunan bilik darjah berdinding papan dan beratap nipah.Bilangan murid juga tidak berapa ramai. Kedudukan sekolah agak ke pedalaman Kampung Koh menyebabkan murid-murid terpaksa berjalan agak jauh untuk belajar di sekolah. Menyedari masalah ini, tapak sekolah telah dipindahkan ke Kampung Melayu. Pada masa itu, kursus vokasional bagi perempuan juga mula diajar di Sekolah Uk Dih.

Pada tahun 1929, ura-ura untuk mencantumkan Sekolah Uk Dih dengan Sekolah Kuok Ming tidak berjaya dan empat tahun kemudian, iaitu pada tahun 1933, sekolah ini mula membuka kelas menengah bagi menampung murid-murid yang tamat persekolahan sekolah rendah. Bahagian kelas menengah ini kemudiannya dihentikan pada tahun 1936. Bahagian kelas menengah ini bersama kelas menengah di Sekolah Kuok Ming, Sekolah Chung Cheng dan Sekolah Min Te disatukan menjadi Sekolah Tinggi Nan Hwa, Sitiawan.

Pada tahun 1936, bilangan murid telah bertambah menyebabkan bilik darjah yang sedia ada pada masa itu tidak mencukupi. Oleh itu bangunan tambahan sekolah perlu dibina bagi menampung murid yang kian bertambah. Justeru, Jawatan Kuasa Pembinaan Bangunan Sekolah di bawah pimpinan En. Doon Fah Wong telah dibentuk bagi memikul tanggungjawab menguruskan pembinaan bangunan tambahan sekolah. Jawatankuasa itu mendapat sokongan dan kerjasama penuh orang ramai di Kampung Koh dalam kempen memungut derma untuk tabung pembinaan bangunan sekolah. Jawatankuasa ini telah berjaya mengumpulkan RM 10,000.00. Pembinaan bangunan sekolah dimulakan pada tahun 1941 namun Perang Dunia Kedua meletus sebelum bangunan ini siap dibina. Pada tahun 1942, bangunan sekolah yang separuh siap dibina itu telah dirobohkan oleh tentera Jepun.

Selepas Perang Dunia Kedua, pembesar-pembesar Cina tempatan sepeti En. Wong Beng Hea O.B.E dan rakan-rakannya berusaha semula membangunkan Sekolah Uk Dih. Dengan kerjasama dan pertolongan Persatuan San San, sebuah bangunan yang mengandungi 6 buah bilik darjah telah dibina pada tahun 1948. Setahun kemudian, bilangan murid bertambah berlipat kali ganda disebabkan murid-murid yang terganggu pendidikan mereka semasa penaklukan Jepun telah mula mendaftar diri untuk melanjutkan pelajaran di sekolah. Sekali lagi keperluan untuk membina bangunan tambahan sekolah menjadi agenda. Dengan penjualan tanah tapak sekolah yang lama , kerjasama Persatuan San San dan sumbangan derma Dr. Ling Sing Han serta Persatuan Chung Hwa, bangunan sekolah tambahan dengan 6 bilik darjah mula dibina.

Sekolah Uk Dih menerima bantuan penuh kerajaan pada tahun 1957. Sekolah ini menerima RM 1800.00 untuk membina sebuah lagi bilik darjah menjadikannya 13 bilik darjah. Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Uk Dih ditubuhkan pada 31 Mac 1974. Mesyuarat kali pertama Ahli Jawatankuasa PIBG diadakan pada 18 Mei 1974 dan mesyuarat tersebut merancang untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Pembinaan bagi membina sebuah dewan besar di Sekolah Uk Dih. Pada 1 November 1974, jawatankuasa tersebut ditubuhkan. Ahli-ahli jawatankuasa pun berusaha bertungkus lumus memungut derma daripada ibubapa dan penduduk Kampung Koh untuk membina dewan tersebut. Upacara meletakkan batu asas bangunan dewan disempurnakan oleh En. Ong Ai Hwa AMN, PPN pada 17 Mac 1978. Bangunan dewan siap dibina pada tahun 1980 dengan perbelanjaan lebih kurang RM 150,000.00. Keseluruhan perbelanjaan adalah dari hasil derma orang ramai. Dewan ini dinamakan Dewan Ong Ai Wah.

Pada tahun 1992, cadangan untuk membina sebuah bangunan kantin yang baru telah dibincangkan. Kemudiannya cadangan ini diubah kepada membina sebuah bangunan dua tingkat, kantin di tingkat bawah dan sebuah perpustakaan di tingkat atasnya. Pertengahan tahun 1993, pembinaan bangunan tersebut telah dimulakan dan siap sepenuhnya pada awal tahun 1994. Kantin tersebut dinamakan Kantin Persatuan San San manakala perpustakaan diberi nama Perpustakaan Yew Wan Leong. Pebelanjaan keseluruhan pembinaan bangunan ini ialah RM 142,318.70 termasuk sumbangan kerajaan sebanyak RM 15,000.00.

Pada hujung tahun 1994, pihak kerajaan melalui projek baik pulih telah membina semula 2 buah bilik darjah di atas tapak lama dengan jumlah perbelanjaan RM 40,000.00. Bermula dengan 2 orang guru pada tahun 1918, kini sekolah ini mempunyai 25 orang guru dan 356 orang murid.
Pada tahun 2002, satu pekeliling telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Perak Darul Ridzuan mengenai Penggredan Sekolah-Sekolah Menengan dan Sekolah-Sekolah Rendah Bagi Negeri Perak Tahun 2002. SJK(C) Uk Dih telah termasuk dalam senarai penggredan semula iaitu dari Gred B ke Gred A. Tarikh kuatkuasa penggredan semula sekolah-sekolah ini ialah mulai 1 Disember 2001.